Kota Kinabalu: Yayasan Osimal beri jaminan untuk menyediakan lebih banyak bekalan reagen dari pembekal di luar negara untuk mengatasi masalah kekurangan Alat Pelindung Diri (PPE) yang dihadapi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sekarang.
Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Osimal dalam kenyataannya di sini kelmarin menjelaskan, kekurangan reagen menyebabkan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu tidak dapat menjalankan ujian jangkitan COVID-19.
Sebagai agensi yang dikenal pasti pihak JKNS untuk membekalkan PPE kepada hospital di negeri ini, Yayasan Osimal sentiasa berusaha untuk mendapatkan bekalan reagen walaupun terhad.
Pada 25 Mac lepas, Yayasan Osimal berjaya mendapat bekalan baharu reagen dan diserahkan kepada pihak JKNS untuk membolehkan ujian COVID-19 dijalankan.
Yayasan Osimal turut menjangkakan sebanyak 1,000 keping PPE untuk petugas barisan hadapan akan sampai pada 28 Mac ini.
Agensi berkenaan juga akan menerima bekalan kumpulan kedua yang melibatkan 2,000 keping topeng muka jenis KN.95; 5,000 keping topeng muka jenis N.95 dan 2,000 helai pakaian perlindungan perubatan.
Rundingan yang dijalankan pihak Yayasan Osimal dengan kilang pembekal di China tidak membabitkan perantara atau orang tengah dan ia adalah rundingan secara langsung.
Pihak yayasan juga merancang untuk membeli ‘ventilator’ untuk hospital-hospital di Sabah. Dana yang digunakan untuk membeli bekalan perubatan disumbangkan oleh rakan-rakan ahli pemegang amanah Yayasan Osimal termasuk syarikat mereka.
Yayasan Osimal turut menyambut baik sekiranya ada mana-mana pihak atau kerajaan negeri yang turut sama mahu menghulurkan sumbangan.
Yayasan Osimal adalah sebuah badan amal yang diperbadankan di bawah Ordinan Pemegang Amanah (Pemerbadanan) (Cap 148). Ia bukanlah badan berasaskan keuntungan dan sebahagian besar dana dibiayai oleh hasil sumbangan pemegang amanah sendiri dan rakan baik serta syarikat mereka.
Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi memaklumkan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu menghadapi kekurangan reagen.
Perkara itu menyebabkan bilangan ujian yang dpat dijalankan oleh makmal berkenaan terbatas.
Sehubungan itu, bilangan kes COVID-19 yang dilaporkans etiap hari tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Situasi terbabit katanya, dialami semua makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara dan JKNS berusaha untuk mengatasi masalah itu scepat mungkin.
Source: Utusan Borneo Online

